BAB 1

Bayu. Manja tetapi masih galak menyentuh mukaku. Liang roma ku rasa terkuak walau mungkin tidak terlihatkan mata kasar. Beginilah waktu pagi sehari-hari jika cuaca aman. Bagaimana pula aku? Tidak. Aku tidak pernah aman malah sering tidak berasa senang untuk ke sekolah.

“Long, rajinlah kamu ke sekolah. Kelak dirimu menjadi berguna. Malah, di sana adalah tempat di mana lahirnya nilai-nilai yang baik dalam manusia.”

Bait-bait bicaranya masih segar dalam kepalaku. Malah mungkin akan segar selamaya. Iya! Biarpun begitu, maafkan aku, ibu. Aku tidak lagi berpegang pada kata-kata itu yang aku fikir hanya sekadar pujukan kepada anak kecil. Arwah ibu menggelarkan aku sebagai Along kerana fikirnya, aku adalah anak pertama sebelum datang adik-adikku. Semasa aku berusia sepuluh tahun, ibu mengandung. Berita itu bermulanya sungguh indah tetapi berakhir hiba. Ibu keguguran terus meragut nyawanya sendiri. Along masih kekal sebagai gelaran kepadaku.

Kini, aku bersama ayah hanya berdua menetap di rumah yang kekampungan ini. Rumah orang lain di sekelilingnya semua sudah berubah. Dari kayu ke batu. Ah! Mereka berduit. Tiang rumah yang dimakan anai-anai pun belum mampu ayah ubati, lagi mahu ditukar ke batu. Nanti, aku dan ayah terpaksa ikuti anai-anai memakan kayu. Biarlah, aku tidak pernah malu. Lagipun, siapa aja yang pandang ke keluarga kami? Dunia sekarang, tidak ada yang sanggup terbeban dengan kepayahan orang lain. Along menggumam sendiri.

Tali kasut diikat rapi seakan telinga arnab. Dia tersenyum bila ingatannya pulang ke waktu ibunya menunjukkan cara mengikat tali kasut. Ikatan arnab menurut kata ibunya. Selesai mengikat tali kasut, Along mengeluh kesat. Beg digalas.

“Ayah, along pergi dulu.”

Dia berbisik sebelum menuruni tangga rumah. Kalau diberitahu dengan kuat pun ayah tidak akan dengar kerana tidur terus. Ayah sentiasa berjaga malam dan tidur bila matahari mula menjenguk bumi. Semenjak menjadi pengawal keselamatan di sebuah kilang di bandar, begitulah kehidupan ayah yang jarang bertemu siang.

Biarpun begitu, ayah tidak alpa pada tanggungjawabnya. Perut aku jarang menjerit minta diisi bila di rumah. Cuma bila di sekolah, aku berlapar. Sengaja. Duit poket ini mahu dikumpul jika ada keperluan lain. Along terus dan terus mengelamun.

“Hei, Long. Bila berjalan, pandang ke depan. Bukan ke bawah!”

Sergah Zaki.

“Berapa butir pasir dari rumah kau sampai ke sekolah?”

Aziz pula menyampuk.

“Ish, apalah kau ni, Ziz. Campur tolak pun ternganga, inikan pula pasir yang beribu.”

Zaki ketawa dan terus berlalu sesudah melanggar sedikit bahu Along. Aziz juga tidak kurang tawanya sambil menggelengkan kepala.

Inikah nilai-nilai yang baik dalam manusia? Persis perangai jembalang. Sering tidak suka melihat kesenangan orang lain. Sering dijenakakan kekurangan orang lain. Apa hodoh sangatkah aku? Apa bodoh sangatkah aku pada penilaian mereka? Sedangkan ini sahaja yang layak ku terima dari tuhan. Tidak mengapa! Suatu hari akan tiba cubaan dari tuhan untukmu, jembalang! Saat itu, kamu semua merangkak padaku agar diberi maaf tapi sebaliknya aku berikan ketawaku. Sudah bertahun-tahun lamanya aku menahan sabar. Aku tulikan telinga, aku butakan mata. Lakukan apa mahumu! Puk! Along terkejut akan segumpalan kertas singgah di pipinya.