SELAMAT TINGGAL PABLO ESCOBAR

Isi kepala aku ligat memikirkan jawapan yang mampu menyelamatkan diri. Aku sedar akan bahaya sekiranya mulut aku berkata jujur. Pablo Escobar ini bukan boleh dipercayai sangat. Kalau dia rasa hendak meletupkan kepala orang sekarang ini, anytime dia boleh buat.

"Takde pulak Pablo... ngape tanya macam tu?" Terlepas cakap Perak tanpa sedar oleh aku akibat gabra tak tentu pasal.

Pablo Escobar diam seribu bahasa. Kemudian dia mengelengkan kepalanya. Aku fikir mungkin dia sedang mencari jawapan apakah makna 'ngape' dalam bahasa Columbia. Orang macam Pablo Escobar ini penjenayah berprofil tinggi, malulah kalau terang-terang mengaku tidak tahu.

Aku diamkan sahaja. Tidak mahu mencari pasal dengan tokan dadah terbesar sekitar Medellín.

Malam itu tidur aku tidak lena. Manalah tahu Pablo Escobar mendapat tahu dari Instagram yang Emma Watson melarikan diri bersama aku dari Unit Risikan Panama tiga bulan lalu. Ditekupnya muka aku sampai lemas masa tengah tidur nanti, buat naya je.

Jam lima pagi, aku sudah berada di Columbia Metropolitan Airport. Pablo Escobar sendiri yang menghantar aku hingga ke pintu lapangan terbang itu.

"Sampai Rusia nanti, sampaikan salam aku pada Evelyn Salt," kata Pablo Escobar.

"Tanya dia kenapa tak accept friend request aku kat Facebook... dah lima bulan aku request," ujar Pablo Escobar dengan suara yang mendatar seakan kecewa.

"Nanti aku tanyakan padanya... Aku pergi dahulu Pablo. Umur panjang kita bertemu lagi," kataku lalu memeluk Pablo sebagai tanda perpisahan.

Perjalanan ke Rusia mengambil masa 13 jam 10 minit dengan menaiki kapal terbang tanpa sebarang masalah.

Aku tiba di Rusia dalam keadaan selamat. Sebaik sahaja melangkah keluar dari Vnukovo International Airport, aku terus dihampiri oleh seorang perempuan tinggi lampai. Rambutnya panjang hitam pekat. Berbibir tebal dan pandangan matanya agak galak. Perempuan itu tidak aku kenali.

"Sieh mich nicht an. Tut so, als wüssten wir uns nicht. Folgen Sie mir einfach am Rücken... abstand halten," perempuan itu berbisik dalam bahasa German kepada aku.

Aku diamkan sahaja. Kenapa bercakap dalam bahasa German sedangkan aku sedang berada di negara Rusia. Kata Pablo Escobar, Evelyn Salt yang sepatutnya menjemput aku. Tapi kenapa perempuan ini yang datang? Siapa perempuan ini?

Aku sudah mula tidak sedap hati.